Monday, October 15, 2012

HARUM PUISIMU KUNANTIKAN

aroma puisimu
seperti harumnya
bungaan dari gunung
selalu aku menunggu
di lereng ini
mengharap desir angin

aku tahu itu
ada buah yang tidak gugur
seperti pernah engkau tulis
pada buku ceritamu

hidup ini dibaluti harapan
tidak semestinya
sedemikian indah
biarlah kuciumi harum aroma itu
supaya ada rindu datang
rindu yang mengesankan

semuga jua ada sesuatu sedang kau rasai
seketika aku sedang menanti
di sini

Sunday, October 16, 2011

RINDU KEMBALI

rindu yang menyentuhi aku
kembali ke ruang silam

hanya detik-detik itu
seperti tidak pernah
menceritakan hakikat

kusentuh embun
meluruh berderai

ladang cinta persahabatan
kembali semak
mimpi berasak-asak

di sepanjang jalan curam
ku terima hakikat
debu dan kelikir
dan licin berlumut

dan sekecilnya
aku
terabai di helaian nasib

Wednesday, August 3, 2011

RAMADHAN

kukutip hanya yang sebati
dengan arah diri
manusia kecil
merintih di jalannya

sepatu tua
telah mulai hilang rentak
hanya sisa-sia nafas
menyarung kemuliaan


di atas nama apapun
kemuliaan sebenar hanya satu
catatan yang lurus
ikhlas dan menjunjung

Thursday, July 28, 2011

WAN SHAARI

tumbuh sepohon rindu
kami yang kau tinggalkan

daun-daun luruh gersang
tersadai di pusara, diterjah sepusar angin

jalan sehala, kau tidak kembali lagi
mimpi telah berhenti

luka itu bukan untuk dikesali, haknya tuhan
menangispun tidak sempurna, mengenang cinta

berdiri di pinggir hari, kami jua begitu
kepiluan terasa dan lorong sepi kami ketemu

memetik harum persahabatan, harum di dalam diri
masa dan rasa bertemu selama-lamanya, seperti tidak kita berpisah

Wednesday, June 29, 2011

TUHAN

kerana tidak sempurna
aku ingin dekat

bukan ingin hebat
kerana tidak sempurna
hanya ingin dekat

dekat dan sempurna
mimpiku
dari
kejauhan ini

Tuesday, June 28, 2011

SPR & BAJU KUNING

pelurunya palsu
kata-katanya lucu

pesta baju kuning
pesta keamanan
mencari detik
untuk menghela
kesejahteraan rakyat

jangan bimbang
jangan bertegang
hanya meminta
sepotong keadilan

Thursday, June 23, 2011

AZNAM AMINUDDIN BAKI

(sahabat se asrama yang kini hidup menyendiri)

lampu terang di dada langit
tidak ia menyimpan rahsia

daun-daun gugur yang kau sapu
adalah cantuman masa bertemu rasa

berbudi kepada rindu yang hilang
telah sebati kekaburan di alam nyata

sepi hatimu tidak merubah
daun-daun kekuningan dan layu disimbah angin

cinta yang kau sedut dari halaman diri
tidak membuatkan engkau bersedih

setiap langkahmu yang lemah
telah tidak sepadan di dalam kenangan kami

tuhan tidak menceritakan rahsia tentang dirimu
kami terus menapak mencari hala

mungkin hari-hari bersamamu masih jauh
hidup ini perjalanan tanpa sedar

cahaya yang menyuluh setelah enggan lagi berahsia
sambil kami menanti pucuk-pucuk segar digantikan oleh tuhan