Monday, October 15, 2012

HARUM PUISIMU KUNANTIKAN

aroma puisimu
seperti harumnya
bungaan dari gunung
selalu aku menunggu
di lereng ini
mengharap desir angin

aku tahu itu
ada buah yang tidak gugur
seperti pernah engkau tulis
pada buku ceritamu

hidup ini dibaluti harapan
tidak semestinya
sedemikian indah
biarlah kuciumi harum aroma itu
supaya ada rindu datang
rindu yang mengesankan

semuga jua ada sesuatu sedang kau rasai
seketika aku sedang menanti
di sini

Sunday, October 16, 2011

RINDU KEMBALI

rindu yang menyentuhi aku
kembali ke ruang silam

hanya detik-detik itu
seperti tidak pernah
menceritakan hakikat

kusentuh embun
meluruh berderai

ladang cinta persahabatan
kembali semak
mimpi berasak-asak

di sepanjang jalan curam
ku terima hakikat
debu dan kelikir
dan licin berlumut

dan sekecilnya
aku
terabai di helaian nasib

Wednesday, August 3, 2011

RAMADHAN

kukutip hanya yang sebati
dengan arah diri
manusia kecil
merintih di jalannya

sepatu tua
telah mulai hilang rentak
hanya sisa-sia nafas
menyarung kemuliaan


di atas nama apapun
kemuliaan sebenar hanya satu
catatan yang lurus
ikhlas dan menjunjung

Thursday, July 28, 2011

WAN SHAARI

tumbuh sepohon rindu
kami yang kau tinggalkan

daun-daun luruh gersang
tersadai di pusara, diterjah sepusar angin

jalan sehala, kau tidak kembali lagi
mimpi telah berhenti

luka itu bukan untuk dikesali, haknya tuhan
menangispun tidak sempurna, mengenang cinta

berdiri di pinggir hari, kami jua begitu
kepiluan terasa dan lorong sepi kami ketemu

memetik harum persahabatan, harum di dalam diri
masa dan rasa bertemu selama-lamanya, seperti tidak kita berpisah

Wednesday, June 29, 2011

TUHAN

kerana tidak sempurna
aku ingin dekat

bukan ingin hebat
kerana tidak sempurna
hanya ingin dekat

dekat dan sempurna
mimpiku
dari
kejauhan ini

Tuesday, June 28, 2011

SPR & BAJU KUNING

pelurunya palsu
kata-katanya lucu

pesta baju kuning
pesta keamanan
mencari detik
untuk menghela
kesejahteraan rakyat

jangan bimbang
jangan bertegang
hanya meminta
sepotong keadilan

Thursday, June 23, 2011

AZNAM AMINUDDIN BAKI

(sahabat se asrama yang kini hidup menyendiri)

lampu terang di dada langit
tidak ia menyimpan rahsia

daun-daun gugur yang kau sapu
adalah cantuman masa bertemu rasa

berbudi kepada rindu yang hilang
telah sebati kekaburan di alam nyata

sepi hatimu tidak merubah
daun-daun kekuningan dan layu disimbah angin

cinta yang kau sedut dari halaman diri
tidak membuatkan engkau bersedih

setiap langkahmu yang lemah
telah tidak sepadan di dalam kenangan kami

tuhan tidak menceritakan rahsia tentang dirimu
kami terus menapak mencari hala

mungkin hari-hari bersamamu masih jauh
hidup ini perjalanan tanpa sedar

cahaya yang menyuluh setelah enggan lagi berahsia
sambil kami menanti pucuk-pucuk segar digantikan oleh tuhan

Sunday, June 12, 2011

AKU DAN KESAKSAMAAN

detik ini tanpa suara
senja tak mungkin dapat ditahan

meneruskan perjalanan berbaki
merindui kesamarataan sejagat

betapa tidak inginkan pura-pura
berselindung di sebalik teduh

aku akhirnya seorang pemaaf
yang tersipu dengan kesilapan, setiap hari

apabila jendela malam akan ditutup
mimpiku berseri tentang kesaksamaan

biarlah hatiku gemilang

Friday, June 10, 2011

PULANGKAN

tuhan tunjukkan jalan keluar
dari rasa yang berontak
segalanya di tanganMu

semua detik yang tersebak
punyai rahsia yang tersendiri
untuk kami menumpang teduh

tentang kemanusiaan yang disanggah
tentang fitnah yang merancak
tentang racun yang berselerak

kembalikan kepada yang berhak !

DEMIKIAN

yang ampuh hanya
dengan mengakui diri serba tak sempurna
sehingga
hukuman yang abadi lagi keras
menekan pundak
menghentak
jiwa sang pelari
di musim-musim gersang
melecurkan angan-angan dan mimpi
yang bersilang dengan penghayatan
redha

dan tiada kata-kata selanjutnya, noktah

ANUGERAH

sudahlah ingatan itu
singkirkan!

lelaki yang gigih
di atas apa nama pun
tidak dia mencari tempat teduh

dia menerjang badai
sehingga tersuluh
anugerah
di langit
tuhan!

CERITA

waktu telah menipis
sisa-sisa sudah tersangat dekat

demi tuhan, saat yang menyengat telah
beredar dari musim jingga

musim bunga yang penuh
telah terbias simbahan cahaya

kelkatu pun enggan menerjah lampu

kini kami mulai bercerita
tentang diri, tentang sunyi

Wednesday, June 8, 2011

DARI HATI KE HATI

(che det kepada dsai)

dia merencanakan
hakikat yang tidak dapat ditebus

kini dia ingin meminta sesuatu
dihalang dengkur keras hatinya

seperti memohon kemaafan
tetapi rahsianya kekal kukuh di sebalik tembok

bersilih musim
dia masih merenung matahari seperti tabah

ingin bermimpi indah seketika tidurnya
seperti malam tak pernah datang

Tuesday, June 7, 2011

KEPADA HAKIM ZABIDIN

lemparkan daun teka teki
ke jurang dalam
pasti mereka asyik
mencari-cari
pintu rahsia
dan kuncinya

daun teka-teki melebat
di bawahnya berteduh
si penenun

TOPENG

tuhan, turunlah
lihat kami

topeng-topeng ajaib
seadanya
telah merencamkan bumi

topeng-topeng ajaib
menghela
sedetik mimpi murni kami

Sunday, May 29, 2011

HENING PUSARA

kemboja di sebatas pasir
daun-daun mereput diterjah
sepusar angin

menyelinapkan pilu
telah pun usai sekian mimpi mereka
di sepanjang jaraknya

rumah tanpa jendela
mereka benar-benar telah menempuh
jalan sehala


pernah dibisikkan ditelinga
amal jariah yang sempurna
anak-anak soleh dan solehah
kemurnian jiwa

kini sepotong janji manusia
benar-benar teruji
di sisi janji tuhannya yang benar

kemboja, debu hitam dan
sepusar angin
ketika petang mulai meredup

Monday, May 23, 2011

KETIKA HUJAN

gemersik hujan
memberi masa
sedetik kepada kami
untuk bermenung

insan-insan berdosa
tandus tanpa berbakti

yang panjang akal dilebihkan
yang pendek menikus
di tengah-tengahnya
serumpun lalang

ketika mula tersedar
hujan telah teduh
suam panas menikam
tiada yang terbakar

kecuali kehilangan
bait-bait
serumpun sajak
yang telah terganggu

Sunday, May 22, 2011

SENJA

bukankah senja itu terbuang
selepas gugurnya cahaya

kecuali memunggah doa
dari bumi ke langit

atau

sepasang kelkatu
menduga cahaya keliru

kerdip kelip-kelip
jauh dan sayu

Saturday, May 21, 2011

79 DARIPADA 222

seorang lelaki tua bernama UMNO
melompat setinggi galah

matanya terbeliak
detik nadinya putus-putus

rupa-rupanya hanya 79 daripada 222 kerusi
bagaimana, bagaimana?

hayat dan kesinambungan
bergelut titik noktah ?

kini dia ternampak seorang lelaki separuh umur
bernama PAS, berwajah jernih

'celaka itu keadilan' bisik lelaki tua
menepuk-nepuk bahu lelaki yang lebih muda

lelaki tua senyumnya panjang dan meleret...

Friday, May 20, 2011

MATLAMAT

yang menoleh
hanya sedikit benar

longgokan kata-kata baik
terbuang akhirnya terbang menghilang

kerana susunan dan aturan
sesuatu yang sulit

selalu dicari orang di permulaan niat
sejujurnya bukan kerana peribadi

susunan yang tulen dengan keinsafan
adalah pilihan yang benar-benar

namun ujian tetap datang jua
samaada sanggup atau tidak

maka pilihlah kata-kata baik lagi benar
sekurang-kurang dengan niat
kiranya itu yang akan disukat