Saturday, September 4, 2010

PAGI

lukisan pagi
dalam nyaman tenteram
di ulit keheningan

di dada hari yang megah
detik-detik menjadi cemas
demi masa yang telah terabai

pagi yang menghidangkan segala
setiap satunya
teruji

dengan kelalaian!

BEBURUNG

taman ini mengajarkan erti rindu
bagi beburung
seperti beburung itu mengajarkan aku
menderitai kesusahan

kerana kehidupan yang goyah
menongkah 'tangan-tangan ganas'

pohon-pohon untuk mereka dipotong
saban hari
sarang mereka dijadikan 'hiasan'
diperdagangkan pula tubuh mereka
dipamerkan dari dalam sangkar

DI ANTARA PEDOMAN

lebih kepada pengabadian
seakan-akan ia perjalanan sama panjangnya
dengan keliru
jika tanpa pedoman
maka terus hanyut

siapakah yang menumbuhkan kelkatu
berlaga dengan neon
tersembam kelkatu
di dada asfal
basah lenjun sayapnya
disirami hujan subuh

Friday, September 3, 2010

LUMUT

lama dahulu
aku dan rakan-rakan remaja
mencatat puisi pada kertas-kertas lusuh

di pekan lumut 'silam' itu
'jam tinggi' dan pokok-pokok besar
sebuah 'kincir angin'
sekitar tepian pantai
selat dindings

belajar mengenali burung putih, 'camar'
mengenali pohon cemara

sebuah bukit bernama 'ungku busu'
di seberang selat berbalam kampong damar laut

di sini insan bercinta
lumut bandar indah 'semadi rindu'

RAWAN

telah kembali bertatih
aku
mengejar bayang rindu
di halaman padang kesepian

suara-suara keliru memanggil-manggil

bisik-bisik lembut
di sana padang harap
tempat menari-nari
nafsu

betapa keteguhan
diuji dan terus
di landasan yang sama itu
padang gelisah

sketsa 'rawan'
memanjat bumbung hari

CATATAN ALAM

setiap catatan di dada alam
membawa makna
mendalam

wajah-wajah lusuh itulah asalnya
'wajah terkini'
maka kita mengerti

dirinya dengan tuhan
seperti tidak 'terselindung'
di sebalik lalang sehelai

seperti selayaknya dia
melunaskan segala dosa
kiranya ada

sedari kecilnya
berulang-alik dia ke masjid

KEYAKINAN

sepatutnya semua terisi
dengan perjuangan
semua percaya kepada harapan

diri yang teguh
pemberian tuhan jua
memikir dan memikir perjalanan
perlaksanaan

bertembung dengan segala
bersabar
bertenang
tetapi pantas

kerana keyakinan kerapkali ukuran
kepada peradaban bangsa
dan agama (Islam yang suci)