Tuesday, January 18, 2011

DOSA SEMAKIN BERWARNA

keajaiban di pintu hari
semua mulai melupakan
seperti jauhnya
tuhan

takut atau pilu
rentetan kelu menikam
kiranya bahasa tuhan telah jatuh
diinjak bicara kurangnya budi

kelukaan di pintu hati
mendesak airmata gugur
kejahatan semakin merapat
kebejatan semakin ketara
dosa semakin berwarna

MENGINTAI LORONG

bercakaran mencari realiti
kerana sesuatu yang tersimpan
kekal menjadi rahsia

mulut yang bijaksana
meraih pelbagai laba
tidak kenal kecundang

di atas jalan yang sama ini
meninjau lorong ke pintu masjid
dua insan yang sentiasa berdukacita
mencari benar
pada harga diri
di hadapan tuhan

(ketika penyokong PAS dan UMNO
berjemaah di sebuah masjid di musim
pilihanraya kecil)

Saturday, January 15, 2011

KATA-KATA

selonggok kata
berhimpun menjadi puisi
mencari makna
di dalam dan di luar diri

selonggok kata, pada ketikanya
tetap tidak berharga

selonggok doa
memanjat kelangit
sejauh manakah kesucian
di hati kita ?

selonggok kata di dalam doa
sekuntum puisi kembang di taman
semusim mekar berimbang

Friday, January 14, 2011

MISKIN SEGALA

tidak berdaya membisikkan
lidah kelu tidak kesampaian
yang dituai
hanya segaring mimpi
di lantai hari tidak berdinding

mudah-mudahan hati ini subur
akar menerjah kesucian
semuga tampuk-tampuk tumbuh jitu
kukuh dan mendasari
liku-liku peradaban

lagu sinis yang berulang
terlalu dekat menghambat telinga

Thursday, January 13, 2011

KETIKA TUHAN DATANG MENOLONG

diusirnya bayang-bayang pergilah
membawa diri berkecamuk

merenyuk melihat tuhan hampir
tuhan datang menolong

ramai manusia kelihatan miskin, namun
adakalanya dia kaya tetapi bukan kaya wang

bersyukur untuk kali ini, tetapi esoknya terlupa
lagi

Friday, January 7, 2011

LADANG

kita berladang di sini di bumi tuhan
berbendang untuk akhirat

memecah kebuntuan hari, detik demi detik
kita ditinggalkan, sesungguhnya

berbudi sejujurnya terpungutlah damai
setelah diinjak sengsara dan gegar tulang temulang

menderu angin sepoi berlari
menjengah meleburkan kesombongan diri !

HUJAN

kiranya hujan ini rindu
gugur dari sayap puisi
yang terbang ia dari jauh
datang menyambar dendam
pilu
ketika terbayang di cerminan air
keajaiban
telah
berkocak lalu hanyut
buih-buih mulai terpecah
di persimpangan pengertian
yang saling berbeza

di antara dua hati
yang tidak menemui damai