Friday, April 30, 2010

KEADILAN

hanya sebentar sahaja
di bumi ini
dengan kesalnya kita
akhirnya akan pergi jua

keadilan
meniti di bibir dan di hati
pasrah segala
ketentuan ilahi

jalan yang lurus itu ada
yang membengkok juga ujud
lihat dan fikirkan setiap hari
tentang kehendak ilahi
apabila kita tinggalkan dunia ini
tidak kembali lagi

keadilan
adalah rasa yang benar dan dituntut
untuk semua

MASJID

'jangan datang ke selangor' kata utusan malaysia,
jumaat 30 april 2010
'jika tidak setuju larangan berpolitik di masjid'

ramai yang menjadi kecut
mendengar kata-kata arahan itu
'masjid adalah tempat solat semata-mata'

demikianlah
kata-kata yang amat miskin
kerana
sebahagian manusia membina undang-undang
di bibir sendiri

di negara ini
ada dua jenis undang-undang
untuk manusia kecil dan satu untuk manusia kaya raya

apakah di sana nanti
tuhan akan mengecualikan
perilaku seorang putera ?

AMINULRASHID

bukti kesombongan
dan keangkuhan manusia
ada di mana-mana

bukti bahawa mereka amat payah bercakap benar
ramai yang berpura-pura menjadi pelakon tambahan
berkata-kata seolah-olah mereka sendiri tidak akan mati

satu nyawa yang amat muda terbang
peluru menembusi kepala dari belakang
penuh hina dina
tragedi itu
di sini ada lompong kosong

Thursday, April 29, 2010

BUNGA PLASTIK

masih ada tidak terbakar kecuali
sesudah semuanya menjadi abu

masih ada yang tidak digusarkan
sehinggalah mereka kehilangan segala-galanya

demikianlah detik-detik sejarah
menghirup duka bangsa
bertambahlah silunya

agama islam meneruskan
perjalanan indah bangsa
tetapi kini mereka telah lupa
pada kesetiaan itu

jalur sinar yang merosot teruk
teraba-raba
terkedu
tercari-cari
kononnya apakah punca

bunga plastik
yang mereka puja-puja

Tuesday, April 27, 2010

MUZIK MAYAPADA

mayapada ini

tentang sepi dan kicauan burung
memaut telinga pada muzik alam

tentang ilham muzik dari dengkuran laut
bertalu-talu tanpa penghujung
derunya

bunyi pohonan buluh bergeser
sesama sendiri
pada suatu petang
ketika angin ringan beranjak

bunyi lokan
memecah hening
di hutan bakau

setiap senja
bunyi ular tedung
dari bawah pohon tembusu

bunyi cicak
ketika sajak ini ditulis

DARI HULU SELANGOR

warna hitam yang melarut
seakan sia-sia untuk diputihkan

satu undi
amat berharga
pada saat gentingnya

satu undi dari seorang pelacur
satu undi dari seorang pelanggan pelacur
satu undi dari 'kaki nombor ekor'

si pencacai tidak akan pergi ke masjid
untuk membeli seorang yang sedang berteleku

demikian wang
membina kemenangan

umat islam
seperti buih-buih berhamburan
di lautan !

Monday, April 26, 2010

HUJAN PAGI

pagi yang jujur dan mentari yang tepat
dengan janjinya
menjadikan aku manusia kerdil
terlupa kerana kebiasaan

keselesaan
yang kadangkala terancam oleh
hujan pagi

sedikit gangguan itu
menjadikan aku lebih kerdil

catatan puisi kecil ini
di dalam hujan pagi
untuk menolak
kesombongan diri