Friday, April 29, 2011

SUMPAH LAKNAT

menjadi mulia mesra
hanya dengan membilahkan kata-kata
yang dipacu

bertenggeklah pepatung harap
di dada suci mereka
yang putih dari dosa

semua nasihat tidak berharga
bilah kata-kata menjadi kota
bisa membunuh atau menyiksa

kiranya tuhan menjadi keliru ?
di antara bebayang dengan debu
di antara penuh atau tepu

Thursday, April 28, 2011

INGIN AKU PERCAYA

menerobos ke pasak hati
luka dan perih ku bawa berlari

menurap jeriji mimpi dan janji
teruji, di persimpangan waktu
masih terjerat, teraba-raba dan
tercari-cari

akukah itu ?
yang melepasi tembok bisu
tercengang berkali-kali
meruntun percaya
untuk diabadikan
sebuah nilai sempurna

akukah itu ?
yang ingin membelok
melengkungkan harap
dari sebuah doa tipis
di sepanjang hari yang mengasak
sepadang gelisah
di lantai bumi tempat bertapak
yang telah panas dan kering

ingin aku percaya
aku ingin percaya
ingin aku terpancang seteguhnya !

KESINAMBUNGAN

inilah kesinambungan
apabila sesiapa pun tidak sudi mendengar
isi kata-kata telah memberat

terimalah bumi yang parah ini
di saat tercari-cari pengertian
di sebalik waktu yang menindih payah

apabila para agamawan mulai berdiam
apabila yang lain telah faham
apabila kita semua terus diam

terimalah mimpi ini tanpa rela
untuk waktu yang telah disingkatkan
detik untuk berbohong semakin menipis

bersegeralah !


(era 'kebusukan' mahathir kini kembali lagi)

Wednesday, April 27, 2011

FITNAH

isi kata-kata bernas dan jerat
umpama segaris tipis
bernada kebetulan

namun fitnah itu angkara
bermula niat dari lubuk hati

menerawang meneroka sengsara dengki
memugar detik-detik terselindung

apabila tuhan telah ditipu
maka genaplah nombor darjat dirinya

maka kerana dia pilih itu
dia telah membakar catatan tuhannya

menjelang mimpi yang sahih
dia telah menelan separuh dari duri

namun hanya di sini !


(menjelang 16-05-2011, sajak untuk Hakim Zabidin)

Tuesday, April 26, 2011

SELAMAT TINGGAL, TELUK RUBIAH

bukan diukur kerana padang golf
18 lubangnya

tidak juga kerana namanya atau kesetiaan
rubiah
yang dikata meninggalkan jejak bertapak
angkara cinta sejati

kami tidak peduli
kerana kami hanya anak-anak remaja yang nakal
datang berbasikal berjam-jam meredah lereng bukit
untuk sampai ke pantaimu
yang teramat nyaman itu

kamilah remaja yang bertelanjang bulat
berenang dan berlari di situ
tanpa segan tanpa silu

kini kuucapkan 'selamat tinggal teluk rubiah'
untuk selama-lamanya
pembesar melayu telah menjual hamparanmu
serta hamparan kenangan kami

maaf, demi kami yang tidak lagi berdaya


(Seluas 243 hektar tanah pantai yang indah telah dijual
kepada syarikat dari Brazil, Vale 20F untuk kilang besi)

(Teluk Rubiah berkedudukan bersebelahan Pantai Teluk Batik, Lumut)

AKU DAN KENANGAN

bait kata-kata ini kususun
mengenang namamu yang jauh pergi
sambil
ku perhatikan
luka matahari
sebentar tadi
dan duka bulan
ketika ini

mulai bersahutan pula
sayu
bunyi cengkerek semakin mendayu

terkekang dan terlewat
untuk turun bersama
ombak laut yang gagah
garang menerjah

ombak telah jauh meninggalkan
pantai ini
telah jauh!

meninggalkan berjejal
buih-buih resah

Sunday, April 24, 2011

AI-QURAN

kata-kata dan catatannya
persis kehadapan muka
manusia yang ragu
dan kecundang
gagal menemui

hina atau mulia bermula dari berani
menopang kesabaran
serta kemelut
di persekitaran kemiskinan
tanpa dia menjual apa-apa
pada sebarang harga

haruskah ditutup, ditampal
supaya kabur dibaca

atau meminda sebahagian kecil maknanya
supaya muncul ragu

supaya penyokong ketawa
manakala penentang diseksa ?

(tiada "sumpah" bagi kes qazaf (zina, liwat dan rogol), demikian
ulasan ulama tersohor, khusus bagi mereka yang meminta DSAI bersumpah
laknat)