Tuesday, July 20, 2010

BAJAI DIRI

bajai diri dengan keyakinan
meredah hutan puisi
menulis dan melukiskan
di kanvas hati

memilih daun-daun murni
haruman dari cinta utuh
hakiki dan bersemi
di pugar pagar keimanan

berkata benar dan bertarung
mengikut
kata tuhan

mencatat dan melukiskan
keajaiban
patah-patah bicara
dihitung dari bibit-bibit
kecintaan

dipandang dari segala sudut
disusun seperti prisma pelangi

BULAN MENANGIS

kurangkul wajah sayu bulan
kedakapanku
ku eluskan-eluskan
airmata rindunya
kepada kedamaian
kerana bulan
telah menyaksikan peristiwa
kita di sini

bulan sedang menangis

SENJA SURAM

senja suram untuk kita
mendiamkan alam
seperti kapal berlabuh
tenteram di pelabuhan

senja suram itu
nyanyi yang hadir
dari dalam diri
melihat
hati-hati merangkak
dan berbisik-bisik
seperti jari-jemari yang nakal
mulut-mulut mulus
membayangkan kata-kata

kata-kata tidak semestinya
memberikan kesimpulan
seperti sewajarnya

dan
senja suram itu, kini
bertambah
layu

Sunday, July 18, 2010

JERITAN

hari-hari yang beranjak
meninggalkan pedih
parut luka tidak kelihatan
merajuk tidak ketara, namun
kedesingan masih menghiris hati

aku menjerit,
menjerit
kiranya jeritan hanya
semakin membenam diri !

SI TUA DAN GUNUNG

kita selalu bersangka baik
si tua yang sudah memiliki banyak wang
memiliki status yang bagus
tentu tidak mahukan wang lagi

tidak
rupa-rupanya tidak
telah mendapat segunung wang
masih dia mahu gunung yang
satu lagi

(apabila mufti perak berkata
ada wakil umno dan pas menemui beliau
membincangkan 'perpaduan melayu')

Saturday, July 17, 2010

KERDIL

setianya langit
meneguhkan pandangan kita
saban hari
serentak dengan rindu kita
kepada perjalanan hidup

sesekali kita bercakap dengan langit
apabila teman-teman tidak
menghiraukan

langit itu milik tuhan
seolah-olah kita bercakap denganNya

kita merasai kekerdilan

Friday, July 16, 2010

SUNGAI, SI PENDAYUNG DAN SAMPANNYA

kata-kata terapung dan hanyut
masing-masing berdiam
bersama deras arus di dalam kilauan cahaya
gemersik bunyian dayung, menongkah gerak alun
menuju haluan yang ditentukan
penumpang terpukau bersajikan puisi di hati

di sisi sampannya yang terolang aleng
kelihatan aksara terbentang di dada air
menyampaikan riak bauan puisi
mereka menyatakan rindu kepada perjalanan hidup

terimakasih
untuk sungai
si pendayung dan sampannya

HAKIKAT

tidak seperti kufikirkan
kata-kataku rupanya tidak mencukupi
setelah engkau memberikan
makna yang lain

tidak juga cukup dengan senyuman
engkau kelihatan keliru
untuk apa senyuman itu
tidak mungkin
hanya percuma

kiranya tuhan menjadikan aku lelaki
dan engkau perempuan

Wednesday, July 14, 2010

PADANG PUISI

padang puisi yang lapang
aku menoleh kebelakang
memandang terus kehadapan
padang sayu
padang rindu
nama-nama yang bertamu
gerak rasa yang menentu

padang puisi yang terbentang
di situ cinta bersatu
di situ jua kuburan
kegersangan ilham

Tuesday, July 13, 2010

CINTA KELABU

cinta kelabu kepada tuhan
memberi makna-makna
mengikut tafsiran

ada yang terbuku di hati
sekadar takut untuk bertanya
kepada yang arif

apalagi hari kini
mereka yang arif hanya menjengah rezeki
pudar rindu tuhan di sudut hati
kelihatan hanya di bibir manis
tetapi dibaca orang lain sebagai kelu
kerana tertampan oleh sinar wang
atau kejutan yang lainnya
dan yang lain itu
aku pun tidak pasti

tidak boleh mengharap
tanah kuburan boleh membawa cahaya
atau ketakutan
sebahagian mereka lebih bimbangkan
musim rontok mengurangkan saham
untuk bernafas bahagia
lebih panjang

cinta kelabu tersasar dari hakikat
masih dipanjat
tangga kesyukuran kononnya
tetapi mata hati dan mata diri
meloncat dari daun ke daun
kehidupan
meniti hanya pucuk muda
amat bimbang
terikut-ikut daun-daun lelah
yang tua
gugur

HUJAN DAN AIRMATA

langit membisu kelu
awan tidak pernah bicara
angin hanya berdesir
pelangi tiba-tiba melengkung
namun matahari terus setia
hanya kini terkepung
oleh gumpalan hitam
maka akhirnya turunlah
hujan

hujan dan airmata !

SAAT MELINTASI KUBURAN

sentosalah dalam kedamaian
mohonku

ketepatan masa
tidak sesaatpun beranjak

ingatan kepada kata-kata
gurau senda
watak

tertinggal di sini
meneruskan kehidupan

di antara dua titik
terhukum dengan sendirinya

merenung samada yang di sini
atau di sana
lebih beruntung ?

Monday, July 12, 2010

KEADILAN

apakah nyanyi diri dalam renunganku
sambil mendongak ke langit
aku ini sudah sebati bersama alam
mimpi tegar perjuangan dalam
kata-kata saksama
mencungkil desah hati
yang cekal tanpa keliru

teguh bagai gunung
nekad bagai halilintar

berkubang di dalam lumpur keadilan !

PROTES

si pedagang mimpi
kini
ditentang oleh garis-garis dan warna lukisan
yang tertumpah
di kanvas hidup

Sunday, July 11, 2010

HAMPAS

inikah tanahku ?
air dan udara

bagaimana dengan
tangan-tangan ajaib
fikiran ajaib
dengki yang ajaib
sogokan yang ajaib

seakan tidak dapat diterokai
pemimpinku

ketika pemimpin tidur malam
siang bagi mereka
berjaga dan berusaha
memiliki apa sahaja

kini seakan
bara-bara merentung
sudah menjadi abu

telah dibacakan salah pemimpin
satu persatu
masih mereka
berlari di dalam mimpi

topeng-topeng durjana
telah mengumpul laba
kemanisan telah dijilat
sepah kini terbuang

langkah longlai
menahan amarah
menahan sepi
menahan rajuk

apakah gunanya ?

PERINGATAN

apabila meminjam hari
sepatutnya telah dipulangkan
kerana
usia telah dipermudahkan
namun hutang diabaikan

menoleh menghitung hari-hari sudah
wajah kehitaman
pernah jatuh tersembam
pernah merana

pernah meninggi
hampir mencecah singgahsana

masih hutang tidak berbayar

masih mahu memohon usia
dilanjutkan

jika tuhan benarkan
untuk apa ?

TOPENG-TOPENG

tuhan, turunlah

lihatlah
topeng-topeng ajaib
merencamkan dunia
telah bisu
kata-kata yang bernas
telah menjadi kusam
daun-daun muda yang sepatutnya jernih

tasbih telah mereka campak !

KU MELIHAT

ketika nyaman udara masih ku sedut
aku telah menangis
kerana

dunia ini terleka dengan senyuman
dengan ketawa
anak-anak kecil mulai berantakan

sekecil mimpi telah mula menipu
belajar menjadi dahaga
lalu meminta-minta

mereka biarkan anak-anak kecil
terlopong
lupa nama tuhan
berenang dalam parit lekit
mendepa tangan dan melepaskan hidung
untuk bernafas
cuma

KERONCONG UNTUK ANA

'keroncong untuk ana'
lagu puisi itu

imbasan diri yang kerdil
hanya untuk mereka yang bijak
pada zaman itu
dan aku hanya 'terlopong'

hanya kini aku fahami
'keroncong untuk ana'
lagu keroncong untuk memanjangkan mimpi
terleka dan terlena
untuk remaja

tidak ada apa-apa yang berat
untuk difikirkan
berbanding zaman itu

TERUSKAN KE HADAPAN

belum kelihatan jalan pulang
bagi peragu
simpang yang payah
untuk tentukan haluan
atau
terima sahaja
lorong yang diredah
darinya akan ditemui
keresahan
kesengsaraan
kebaikan

tidak lagi perlu menoleh
kebelakang
kehidupan perlu diteruskan

Friday, July 9, 2010

SURATAN

susuri jalan kenangan
sayu lembut ingatan
membelai dan mengheningkan
dada rindu
semusim kembara
dari takah ke takah
atau menerjang
cita-cita yang garang
akhirnya
menemui
sesuatu
kekal tersemat
rangkulan suratan
padanya kelangsungan

TELAH GUGUR

mengekori kepulangan senja
kepada malam
terdampar
sepi dan keheningan
sejuk rindu
menemani
wajah-wajah tulus yang disayangi
kerana dunia hari ini telah
banyak berubah
putik-putik bungaan
telah mulai gugur
ketika angin
belum sempat membelai

Thursday, July 8, 2010

BERAKHIR

sekiranya dia ada
ingin lagi mendengarkan
cerita dan cintanya
pada pengharapan
di penghujung jalan

kini tandus
mimpi usang bergelempang
di temui
di setiap lorong
di setiap denai yang gelap

MENINGGALKAN

semarak semusim puisi
menerobos rindu kami
tetapi kini dia telah pergi
meninggalkan
mimpi puisi
yang seakan mati

Tuesday, July 6, 2010

BULAN MANIS

ketika pintu hari beranjak
telah tertinggal
kaki-kaki rindu berjejal
di pantai kehidupan

merenung sayup senja
di kejauhan bulan membayang
segeralah menyinarkan
bumi kami yang gelap ini

HARAPAN INDAH

demikian bila ku togok kesengsaraan
dapat menikmati duka
meloloskan diri dari kecurangan
sehelai benang menjadi penghadang

demikian setitis airmata
tidak gugur
hanya bergenang
menjadikan diri tidak lagi palsu

bukan untuk sebutir mutiara
yang ditunggu
hakikatnya
sebutir iman
seperti sebutir pasir indah
yang dijumpai
di pesisir pantai kehidupan
yang putih memanjang

PUISI MANIS

kerana puisi begitu manis untuk dinikmati
mengalahkah secangkir kopi
minuman pagi
bersalut pahit dalam aroma

kerana puisi menyesatkan lagi perindu
dalamnya penafsiran
berbondong-bondong kabut hitam
menerobos kotak hari

kerana puisi adalah lagu jiwa murni
aku menjadi berani
kerana tidak sanggup
kulepaskan
semuanya !

Friday, July 2, 2010

SUDAH TERLALU TUA

seperti seorang aku
yang pernah engkau kenal
sebenarnya aku seperti itu
dari dulu

aku belum berubah
merindui kasih sayang
menjadi pemaaf
dan tidak banyak meminta

mata sayuku kepada alam
bercakap dengan laut, unggas, bukit
dan pepohonan
puisi dirakam di dalam hati

'namun sesekali aku terkenangkan kamu jua'

hanya
sudah terlalu tua aku
untuk mengerti 'cinta'

Thursday, July 1, 2010

KETIKA

ketika puisi membuatkan aku tersenyum
ketika puisi menjadikan aku rindu

ketika puisi memancarkan cahayanya

ketika puisi mencabar

ketika aku yakin
tuhan telah menjadikan aku begini

KUSUT, KUSAM & RENCAM

tali hidup kini kusut
orang berpusu-pusu
berkelana dan bermimpi
mencari dan meneliti
tersenyum sambil berpura-pura
masam mencuka tetapi benar-benar
menolong

tali hidup ini kusam
rezeki di sekitar tong sampah
dikais-kais untuk hari ini
esok pagi cerita lain

tali hidup ini rencam
di antara berbagai darjat

TIDAK BIASA

roda-roda keajaiban
melintasi ruang nasibku
merenung ke bawah
dari tempat yang tinggi
terasa aku ngeri

aku tidak biasa
berada di tempat tinggi

cukuplah
di bumi yang sama-rata
aku berjalan