Sunday, October 31, 2010

HUB HIBURAN MALAM

(Tengku Adnan Tengku Mansor pernah
mencadangkan supaya kelab malam di KL
di tutup pada jam 5.00 pagi)

merah delima bibir lelaki itu
manis amat apabila bersenyum
bersimpuh dia di sebuah rumah usang
di kelilingi makcik-makcik yang berbangga
seseorang yang terkenal hadir ke kampongnya
di galas, kelantan
membawa beberapa habuan bersama

makcik-makcik itu tidak pernah tahu
malah tidak pernah peduli pun
cadangannya untuk menutup kelab malam
jam 5.00 pagi semakin menjadi realiti
lebih dari segala-galanya
hub hiburan malam bakal 'menjana ekonomi'
terkandung di dalam ETP

beberapa ekor anjing tersenyum
sambil berbisik-bisik sesama mereka
'manusia juga kadangkala berfikir
seperti kita'

'bertambahlah rezeki kita', sahut yang lain

KAWAN

wajah-wajah terasing sketsa di ruangan ini
adalah jua sahabat
aku ingin fahami jalan mereka
pasti mereka merahsiakan

ketika sama-sama sujud di sebuah masjid
masih kita tidak kenali sepenuhnya

dia mungkin menjadi seorang rakan baik
mungkin pula
seseorang yang boleh 'menggigit'

pernah ku terdengar kata-kata
'jangan sangka kawan rapat tidak boleh berbohong'

di saat ini ku hanya berlapang dada

(lihat apa terjadi kepada DSAI)

Saturday, October 30, 2010

FIRAUN BESAR

(kepada zol noordin)

daripada firaun kecil kini telah berganjak
menjadi firaun besar

mata kamu yang meliar itu
dengan sendirinya
melukiskan hakikat
niat dan kebusukan
hati
kejengkelan teramat!

'kembalikan yang menzalimi kami kepada allah'
di sisi allah semua musuh akan bertemu

Friday, October 29, 2010

NOSTALGIA

aku merindukan
secangkir kopi panas
sepiring ubi kayu rebus yang menggebu
seekor dua ikan sepat salai

aku merindukan
pangkin tempat kami bersandar
juga
pohon mangga besar tempat berteduh
dari rintik hujan

pohon mangga itu tidak pernah berbuah
dan
kami berbual-bual kosong di situ

AWAS

(kepada big mama)

hiasan
dan bisik-bisik
nafsu nafsi
merangkak-rangkak
di atas kepala
di sisi
dan
di bawah kaki

awas !

Thursday, October 28, 2010

TERABAI

suatu kurniaan yang terabai
ada pada diri kita sendiri
iaitu minda

mendamaikannya
atau merempuh
menghadang
atau menghadam

yang terabai
berpunca dari kelalaian

KEPADAMU

hidup ini sepusingan rindu
menjelajah semua keinginan
namun yang pasti
sebahagian darinya ialah penyesalan

dosa-dosa pernah terpampang
pada sebuah lukisan
yang pernah di tatap
lukisan itu sudah beransur pudar
warnanya

di situ
sekeping hati yang murni
hanya berharap
kepadaMu Ilahi

Wednesday, October 27, 2010

MUNAJAT

secangkir rindu dari sekeping hati
bermukim di sini
menanti resah terbang
mengunci diri di dalam dendam
terpanggang harapan di atas bara menyala

namun di sini
kasih tetap tidak beralih

hanya menanti sebuah titik
percantuman
di antara rasa

Monday, October 25, 2010

UJIAN

semua mahu menangkap sinar mata
kejujuran
dari dalam gelita sekalipun
mereka seperti berjuang

ada yang hanyut ada yang masih menggapai
demikian apabila tuhan menguji

melihat dari padang saujana
dari rimba berduri
atau
dari mata kelkatu
yang hanya mahu menangkap
cahaya itu

lalu gugur

HIPOKRIT

kononnya mereka yang hadir mesyuarat
membawa agenda besar
untuk agama, bangsa dan tanahair
di PWTC

orang-orang kampong ternganga
melihat mereka berdiskusi
berbahas
mengusulkan
memuji-muji kehebatan perdana menteri
di tv

kuala lumpur kota derhaka
sebahagian perwakilan pada malamnya
ke rumah urut, sarang pelacuran, karaoke, pub,
dangdut dan pelbagai

(2)
merekapun menunjuk-nunjuk bersembahyang jumaat
untuk pertama kali, di situ
berpuluh tahun dahulu ??

BODOH

malu aku
seorang perdana menteri berucap
apakah aku yang bodoh
ataukah dia
'pertahankan putrajaya dengan nyawa sekalipun', katanya
mimpi buruk yang celaka
aku menepuk-nepuk pipi berkali-kali

SEPI

membikin hati gelisah
kerana sepi
yang intim

di sisi
jarang-jarang ada penawar
kecuali
desir angin
meruntun payah
bertatih
merembes
naluri
kebejatan

aku tahu
puisi usang
seorang lelaki yang merajuk
merempuh rongga hidup
dari titik mula
wajahnya membeku

Sunday, October 24, 2010

TAMAK

selonggok kata
merangkum harapan
mencari tuhan
mendambakan sentuhan
lalu di bumi ini kita bersepahan
di antara mengerti atau tidak
masing-masing
dan tiba-tiba
menjadi pelahap

ILHAM

tertumpah ilham mencair
di padang tenang
puisi-puisi kembali menghidup
seperti pucuk-pucuk muda

denai ini aku rindu
padang jarak
bayu atau keributan
ia adalah
perjalanan

dekat mahupun jauh

Thursday, October 7, 2010

MEMETIK KATA-KATA

hikmah yang aku kagumi
'dunia adalah bendang bagi akhirat'
seperti kata mereka

membajak
menyemai
mengairkan
merumput
membaja
menghalau unggas

menunggu padi masak

dan menuai

terasa haus dahaga
memetik kata-kata

Wednesday, October 6, 2010

SEGURIS SAJAK

seguris sajak
dan
sekeping hatiku

terisi dengan rindu panjang
pada lagu-lagu
dan hiasan
kata-kata

berdiri, berjalan atau berlari
kukagumi
benar-benar kerana tuhan
menyelitkan
ayat-ayatnya
di sekeliling

maka aku hanya seperti itu
seperti mengerti
seperti ingin
menyuburkan
kebenaran yang payah

seguris sajak dan sekeping hatiku
seperti ia pernah bersatu

NELAYAN SUNGAI

desir angin membisik
menyatakan ngilu hati
lagu prihatin nelayan
yang sedang menangguk ikan
di sebatang sungai yang sempit
seperti jua aku
menangguk harapan
dari sisa-sisa ilham
di antara sungai
angin dan nelayan itu


(dari atas jambatan tuanku bainun, segari, lumut)

KENANGAN

di situlah pada saat lalu
kehilangan terjadi
di dalam mimpi yang keruh
dari jendela ia terbang

sesudah usai semuanya
mengerling dia
menyatakan
rindu untuk datang
semula

dia tercari-cari
dan aku
termangu

Friday, October 1, 2010

JAWAPAN YANG SATU

di dasar sepi hati
ku ilhamkan rindu kepadaMu
sehingga kukenal
di antara darah
tanah, air, api dan angin
dan
musim-musim yang bergantian

sujud
benar-benar kerana yakin
namun sesungguhnya
menggapai dan menggenggam
tiada pernah sudah

retorik
sering pula datang bersama diri

di sini
amat indah apabila
aku mengerti dan engkau mengerti
dengan satu jawapan yang amat pasti
hanya itu!