Thursday, December 17, 2009

BITARA

dirimu dalam semilir angin dan debur ombak
jauh dari jangkauan apalagi rangkulan
engkau bitara

adakah aku pernah berjanji
secara sulit atau ketara
kepada kamu atau kepada diriku sendiri

segedung harap direngkuh
bagai memaut sekapal barang dagangan hanyut
hilang kemudi terpatah sauh

segugus impian mendatangi
menggapai di mataku yang jenuh
duga hati dan helaan nafas

tertangkapkah cahaya
di birai jemarimu
menemukan lekuk rindu tidak semena-mena

engkau kenali aku dalam subuh temaram
lelaki yang kurang
memilih jalan sukar untuk ke syurga ?

1 comment:

  1. mengapai sinar matamu yang kian malap
    kenapa jadi begitu?

    mohon
    jadikanlah aku api jiwa yang menghangatkan
    perjalananmu
    arahnya entah ke mana

    impian menyemarakkan asa
    jangan kau menyerah
    kerana aku tidak pernah.

    janji
    kepada aku atau dirimu
    hanya Tuhan Maha Tahu
    ku sandarkan harapan
    bertemu perahuku
    kamu di lautan

    biar kecilnya sampan
    kuharungi jua
    biar patah sauh kapalmu
    kan kulemparkan tali menunda
    sayu matamu
    akan kukembalikan cahayanya

    kau
    lelakiku
    sesukar mana jalan ke syurga
    rempuhlah bersama

    kan iringi kapalmu
    tujuh samudera
    biar aku hilang segala
    andai kau bersama
    aku rela
    setia kasihku
    bitara

    ReplyDelete