Friday, January 28, 2011

MASIH AKU

ya, aku masih di sini
mengusung jemu

melihat dari dekat rama-rama rindu
yang datang di pesisir mata

datang dan terbang semahunya
dengan bisik-bisik murah

tentang cinta
tentang perjalanan hidup, kadang-kadang

aku masih ingin di sini
mengusung sengsara di likuan

dan
angin malam ini sungguh nikmat!

Tuesday, January 18, 2011

DOSA SEMAKIN BERWARNA

keajaiban di pintu hari
semua mulai melupakan
seperti jauhnya
tuhan

takut atau pilu
rentetan kelu menikam
kiranya bahasa tuhan telah jatuh
diinjak bicara kurangnya budi

kelukaan di pintu hati
mendesak airmata gugur
kejahatan semakin merapat
kebejatan semakin ketara
dosa semakin berwarna

MENGINTAI LORONG

bercakaran mencari realiti
kerana sesuatu yang tersimpan
kekal menjadi rahsia

mulut yang bijaksana
meraih pelbagai laba
tidak kenal kecundang

di atas jalan yang sama ini
meninjau lorong ke pintu masjid
dua insan yang sentiasa berdukacita
mencari benar
pada harga diri
di hadapan tuhan

(ketika penyokong PAS dan UMNO
berjemaah di sebuah masjid di musim
pilihanraya kecil)

Saturday, January 15, 2011

KATA-KATA

selonggok kata
berhimpun menjadi puisi
mencari makna
di dalam dan di luar diri

selonggok kata, pada ketikanya
tetap tidak berharga

selonggok doa
memanjat kelangit
sejauh manakah kesucian
di hati kita ?

selonggok kata di dalam doa
sekuntum puisi kembang di taman
semusim mekar berimbang

Friday, January 14, 2011

MISKIN SEGALA

tidak berdaya membisikkan
lidah kelu tidak kesampaian
yang dituai
hanya segaring mimpi
di lantai hari tidak berdinding

mudah-mudahan hati ini subur
akar menerjah kesucian
semuga tampuk-tampuk tumbuh jitu
kukuh dan mendasari
liku-liku peradaban

lagu sinis yang berulang
terlalu dekat menghambat telinga

Thursday, January 13, 2011

KETIKA TUHAN DATANG MENOLONG

diusirnya bayang-bayang pergilah
membawa diri berkecamuk

merenyuk melihat tuhan hampir
tuhan datang menolong

ramai manusia kelihatan miskin, namun
adakalanya dia kaya tetapi bukan kaya wang

bersyukur untuk kali ini, tetapi esoknya terlupa
lagi

Friday, January 7, 2011

LADANG

kita berladang di sini di bumi tuhan
berbendang untuk akhirat

memecah kebuntuan hari, detik demi detik
kita ditinggalkan, sesungguhnya

berbudi sejujurnya terpungutlah damai
setelah diinjak sengsara dan gegar tulang temulang

menderu angin sepoi berlari
menjengah meleburkan kesombongan diri !

HUJAN

kiranya hujan ini rindu
gugur dari sayap puisi
yang terbang ia dari jauh
datang menyambar dendam
pilu
ketika terbayang di cerminan air
keajaiban
telah
berkocak lalu hanyut
buih-buih mulai terpecah
di persimpangan pengertian
yang saling berbeza

di antara dua hati
yang tidak menemui damai

BINTANG

kau seperti itu
berirama lembut mendayu
berbisik di kamar budi, di pinggiran rindu
sesepi hati

aku di sini
menghela nafas panjang
merindui
garapan indah penyair
lukisan puisi di dada langit
sebutir bintang cemerlang
ingin tersemat
di sanubari

kiranya engkau yang datang..? lalu pergi..

Thursday, January 6, 2011

APA KHABAR

apa khabar pak menteri
bisakah kita satukan

satukan apa ? tanya menteri

ya, mari kita satukan

satumalaysia + satuindonesia

satukan maznah dengan robengah

begitulah kira-kiranya !



(siasat jangan tak siasat !)

SELANGOR

lihatlah manusia yang busuk hati berkerumun
menampar-nampar pipi sendiri
kemelut di dalam diri mereka
kebejatan amat sangat
mual dan termuntah aku
dendam tidak beradab
berkurap merayap

parti tua yang laknat
ya, akan sampai masa kamu !

Wednesday, January 5, 2011

DI SANGKAR MAYA

terdekat ini
waktu menyondol
menggerutu melalikan
di sangkar maya

adakah tuhan itu dekat
atau jauh
tanya mereka

dekat apabila ingin
jauh apabila tertidur
apabila nafsu berkumandang
menjerit-jerit
menjerat
hari dan diri

lalu kagum
lalu lupa

terkesima!

TERLEWAT

membelai dan mendakap rindumu
adalah daun-daun usang
yang gugur
dari pohon yang telah tua, dan
memaniskan semula
kata-kata suci
seolah-olah
daun-daun yang terbang melayah
meninggalkan pangkal pohon
merayap ia kemanakah ?

OLEH PENDUSTA

jangan menggelepar
roda yang bergerak tidak mampu ditahan

dunia melayu berubah, kini berubah
songsang atau gila, namakan apa saja

tumpul atau tajam, berbisa jua parang atau pedang
mereka sedang berbunuhan

menjadi lelaki pengecut dan sayu, ramai sekali
dia mahu terus menjadi melayu dungu

menjadi lelaki pantas 'mencebak' apa jua
dosa-dosa entah bila akan dibacakan, pedulikan

wanita bersarung rindu
memiliki mata yang luas, bertebaran dan terbakar nafsu

melayu merempat
bumi ini telah dikecewakan oleh pendusta yang parah!

Tuesday, January 4, 2011

2011

menyelak ke pintu hari
dengan syukur

keindahan yang tuhan beri
menyesak nafas

melangkah berhati-hati agar sembuh
suara kusam yang belum terbebas

kepada semua yang mengerti
lidah dan hati akan berisi

kupanjangkan renungan
arus air mengalir, disusuli sungai kehidupan

seperti biasa
berusaha membuang sampah sarap atau halangan

seperti aku tidak pernah bersalah, namun hakikat
tidak begitu

kawan-kawan menilai
manakala tuhan mengetahui segala

seandainya bunga-bunga puisi masih menjadi...